Monday, February 15, 2016

Cerita sebagai peringatan..

Sekadar peringatan bersama...

Anak perempuannya itu balik ke kampung. Dengan suami dan anak-anak. Musim buah.

Cucu-cucunya itu pergi ke dusun dengan atuk. Menantu lelakinya itu ikut sekali. Nak kutip buah manggis.

Tinggal si ibu dan anak perempuannya itu di dapur. Bersembang.

"Ingat lagi tak dua tahun lepas, kamu balik kampung nangis-nangis?"

Si ibu buka cerita. Anaknya mengangguk perlahan. Senyum.

"Ingat, mak. Masa tu, saya balik sebab tak tahan perangai suami, keluar sana-sini dengan perempuan lain. Nak kahwin dua masa tu. Sampai saya terabai, anak-anak kecil lagi meragam. Ya Allah, Tuhan saja yang tahu peritnya waktu tu."

Anaknya nampak lega. Tak lagi bengkak-bengkak mata, susut badan macam dua tahun lepas. Dia sendiri boleh baca riak wajah anak perempuannya itu, bahagia.

Imbas kembali ke detik hitam itu.

"Mak, saya nak bercerai! Tak tahan dah!"

Masa tu masuk tahun keempat perkahwinan. Tiga tahun awal penuh bahagia. Tahun keempat, punah-ranah. Suami balik kerja marah-marah, selalu balik lewat. Akhirnya kantoi ada skandal dengan perempuan lain. Malahan, berlaku serang-menyerang antara bakal isteri kedua dengan isteri yang sah. Baru pecah, siap plan nak nikah di negara jiran.

"Sabar. Ini ujian pertama." Ibunya itu tenang. Kepala anak di ribaannya. Membelai anaknya itu seolah masih anak kecil.

"Bila berlaku macam ni, mak selalu pesan sejak kamu sekolah lagi, lihat ke dalam diri kita sendiri dulu. Cari silap diri dulu."

Anaknya itu menitiskan air mata.

"Satu, kamu periksa balik, bagaimana solat kamu. Sempurna atau lompang? Sejak bernikah, adakah makin syukur hingga rajin solat di awal waktu, rajin bangun solat malam, rajin baca Al-Quran?

Atau bila tenggelam dengan rasa bahagia, semua jadi sebaliknya? Solat lewat, Al-Quran tak baca. Sibuk dengan bahagia. Sibuk nak cerita bahagia. Sibuk nak pergi berjalan-jalan dengan suami, sibuk nak melancong sana-sini kemudian hebohkan di media sosial? Nak kawan-kawan tahu kamu sedang bahagia?"

"Allahumma la taj'al musiibatana fii diinina". Ya Allah, janganlah jadi musibah kami kerana kelalaian kami mengerjakan agama."

Terdiam anaknya itu. Air mata masih bercucuran.

"Kedua, andai kamu jadi lebih baik selepas nikah, adakah kamu lupa erti syukur? Bila tengok suami, dalam hati, "Alhamdulillah." Bila rasa bahagia, "Ya Allah, terima kasih atas kebahagiaan ini." Bila gembira, "Subhanallah Maha Suci Allah, Kau beriku peluang kecap nikmat berkeluarga."

Benda simple. Tapi, manusia sifatnya tamak. Diberi bahagia, dia nak lagi bahagia.

Kamu baca kan Surah al-Alaq ayat 6 dan 7? Allah berfirman yang bermaksud,

"Sesungguhnya memang manusia jenis yang tetap melampaui batas, dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajati."

"Lain syakartum la-aziidannakum". Kamu tahu bila kamu syukur, Allah tambahkan lagi dan lagi nikmat kurnia-Nya.

Anaknya itu bangun. Hadap muka ibunya dengan bekas air mata yang belum reda.

"Tapi, mak. Saya setia. Saya ikut segala apa yang dia nak. Saya dah jadi isteri yang baik! Dia yang jahat, dia yang curang! Bukan salah saya!"

Ibunya senyum.

"Kamu sekarang masih punya suami. Masih tidak bercerai. Dia masih balik ke rumah. Masih dukung anak-anak. Kamu bayangkan suami yang balik rumah, sepak-terajang isteri depan anak-anak? Kamu belum sampai ke tahap itu.

Tiap kali kita susah, bayangkan orang lain lebih azab dugaannya dari kita.

Orang lain ada yang diceraikan suami, ditinggalkan suami tanpa kata. Tergantung bertahun-tahun. Nafkah dan tanggungjawab entah ke mana.

Kamu masih sempat buat persediaan. Seandainya nak bercerai, kamu kena selesaikan tiga benda; satu, kerja. dua, tempat tinggal. ketiga, ketabahan hati. Jangan bercerai seandainya kamu tidak punya kerja. Jangan bercerai seandainya tak ada tempat tinggal untuk berteduh bersama anak-anak. Andai bernikah perlu persediaan, bercerai pun perlu. Jangan bercerai kalau hati tisu. Hati kena kering, hati kena waja."

Allah dah pesan dalam Surah Az-Zumar ayat 10, "Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja akan disempurnakan pahala mereka tidak terkira."

"Minta kepada Allah penuh yakin. Berlindung dengan Dia. Dia yang duga, Dia juga solusi. Dia bagi 'soalan', Dia pasti ada jawapannya. Ini peperiksaan hidup."

"Mak nak bagitahu. Jadilah seperti Saidatina Khadijah r.a. isteri Nabi s.a.w.. Yakin dan hormatnya sebelum nikah lagi. Selepas nikah, bertambah lagi. Percayakan suami di saat tiada yang mempercayai. Bersama dengan Nabi s.a.w. di saat tiada siapa bersamanya. Makan minum pakai semua jaga teliti.

Saidatina Khadijah r.a. perlakukan suaminya bagaikan raja. Buat hingga Nabi s.a.w. kenangnya sampai akhir hayat. Walaupun Nabi s.a.w. beristeri ramai, tapi ulung di hati kenang selalu tetap Khadijah yang satu itu. Tak luput dek waktu. Tak berubah dek perubahan sekeliling.

Kamu balik, bincang elok-elok dengan suami. Uruskan pakai makan dia seperti biasa. Layan dia elok-elok seperti selalunya. Senyum walaupun hati luka. Cukupkan kehendaknya. Bila bersendirian, Tuhan jadi peneman setia. Selebihnya, serahkan padu pada Allah s.w.t. Andai Dia takdirkan bercerai, redha. Andai Dia takdirkan masih ada bahagia, syukur!

Elok macam mana pun perempuan baru tu, buat dia sampai dia tak boleh lupakan kebaikan kamu, kemesraan kamu, kerajinan kamu, baik hatinya kamu. Dia akan nampak, isterinya lebih memahami, lebih bagus, lebih segalanya dari perempuan itu walaupun orang baru datang dengan pakej rupa dan tubuh badan sempurna.

Rupa indah tak boleh goncang tulusnya hati!

"A husband should reflect on how he can give to his wife more than he takes. And she should reflect on how she can give to her husband more than she takes."

"Wasbir 'ala ma 'asoobak!" Sabarlah atas segala apa yang menimpamu. Allah ada, mak ayah masih ada untuk kamu. Andai kami tiada, Allah masih bersama. Tak pernah Allah zalimi tanpa ada sesuatu yang Dia nak bagi."

Ibunya yang bekas guru itu matikan ayat di situ.

***
Itu dialog dua tahun lepas. Anaknya itu balik ke rumah dengan misi baru, ikut apa yang ibunya pesankan. Pada Allah diletak segala pergantungan. Kuasa Tuhan, hati suami yang berbolak-balik, buat u-turn kembali. Kembali dengan lebih kasih. Dengan rasa insaf dan kesal.

"Sekarang, kau percaya, Allah kuasa segalanya?"

Ibu tua itu senyum menampakkan gigi palsunya.

"Yup, saya percaya. Dan saya percaya Malaysia dah ramai rakyat Bangladesh, we need no more. huhu."

Dan mereka berhuhuhu sampai ke senja sambil makan manggis.

cerita oleh: Muhammad Rusydi